Sabtu, 8 Oktober 2011


Buku Panduan EK RPH

BUKU PANDUAN
ELEMEN KEUSAHAWANAN


Copyright  2011 Bahagian Pembangunan Kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia
Aras 4-8, Blok E9
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62604 Putrajaya


Tidak dibenarkan mengeluar ulang mana-mana bahagian artikel, ilustrasi dan kandungan buku ini dalam apa juga bentuk dan dengan apa cara pun sama ada secara elektronik, fotokopi, mekanik, rakaman atau lain-lain kaedah sebelum mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.




KANDUNGAN
Halaman
Rukun Negara iv
Falsafah Pendidikan Kebangsaan v
Prakata vi
Pendahuluan 1
Konsep Elemen Keusahawanan Merentas Kurikulum 4
Indikator Kepada Kejayaan Penerapan
Elemen Keusahawanan Dalam Diri Murid 11
Contoh Penerapan Elemen Keusahawanan
Modul Bahasa Malaysia Tahun 1
Dunia Seni Visual Tahun 1
RUJUKAN 124
Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pengajaran dan pembelajaran berkaitan asas pengurusan perniagaan dan keusahawanan dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) sejak awal tahun 1990-an. Topik-topik yang dipilih berfokus secara langsung kepada bidang/ tajuk pembelajaran dalam pengurusan perniagaan dan keusahawanan.
Untuk menghasilkan murid yang mempunyai budaya keusahawanan dalam kehidupan seharian, penerapan elemen keusahawanan secara merentas kurikulum diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula di Tahun I. Penerapan awal ini bertujuan membolehkan murid membudayakan sikap keusahawanan, mengamalkan cara berfikir ke arah menghasilkan sesuatu idea, memperoleh kemahiran dan pengetahuan asas dalam konteks perniagaan, menghasilkan produk yang berasaskan kemahiran teknologi dan vokasional yang dipelajari di dalam kelas dan mempunyai perlakuan yang bermoral dengan nilai etika yang tinggi. Penerapan elemen ini akan menghasilkan murid yang dapat mengamalkan sikap dan budaya kerja yang baik selain daripada boleh menjalankan kerja-buat-sendiri, mereka cipta dan cenderung berurus niaga.
Pemupukan budaya keusahawanan dalam kurikulum bermula dari Tahun 1 adalah penting bagi mewujudkan kurikulum yang relevan dengan keperluan semasa dan cabaran masa depan. Di samping itu, ia juga dapat membentuk generasi berwawasan yang mempunyai asas kukuh dalam aspek kemahiran berfikir, berkomunikasi, kreativiti, pemikiran inovatif dan bersemangat keusahawanan.
Penerapan elemen keusahawanan boleh dirancang di dalam standard pembelajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah bermula seawal dari Tahap I (Tahun Satu dan Dua) seterusnya di akhir Tahap II (Tahun Tiga hingga Enam). Penerapan elemen keusahawanan ini perlu diteruskan hinggalah ke tingkatan lima di sekolah menengah.








PENDAHULUAN


Buku panduan ini mengandungi penerangan tentang lima elemen keusahawanan yang hendak diterapkan secara merentas kurikulum. Guru-guru perlu memahami definisi, matlamat, objektif umum yang hendak dicapai dan kaedah penerapan elemen keusahawanan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan jelas.
Ciri-ciri keusahawanan dalam diri murid boleh dilihat oleh guru melalui indikator-indikator yang tertentu. Indikator ini boleh digunakan oleh guru untuk mengukur pencapaian objektif penerapan elemen-elemen keusahawanan tersebut. Terdapat tiga pendekatan penerapan elemen keusahawanan boleh dipilih oleh guru untuk menerapkan elemen-elemen tersebut.
Buku panduan ini menyediakan contoh-contoh pendekatan penerapan elemen keusahawanan bagi modul/ mata pelajaran Dunia Seni Visual dan Bahasa Malaysia. Tiga jenis pendekatan yang boleh dipilih dan digunakan oleh guru ialah sama ada:
1) pendekatan penyebatian;
2) pendekatan pengintegrasian dan
3) pendekatan pengaplikasian
Guru boleh memilih untuk mengguna pakai pendekatan penyebatian sekiranya aktiviti pengajaran yang dipilih pada hari tersebut secara terang-terangan mempunyai elemen-elemen keusahawanan. Penerapan elemen keusahawanan boleh mula diterapkan dari set induksi, langkah 1, 2 dan seterusnya tiba masa guru merumuskan pembelajaran pada hari tersebut. (Rajah 1)


RAJAH 1: PENDEKATAN PENYEBATIAN
Guru boleh menggunapakai pendekatan pengintegrasian dalam mana-mana topik apabila aktiviti yang dirancang tidak jelas ke arah membincangkan hal yang berkaitan elemen keusahawanan. Walaupun demikian, di antara aktiviti-aktiviti tersebut, guru boleh menerapkan mana-mana elemen keusahawanan dengan cara meminta pandangan murid dalam situasi-situasi yang berkaitan. (Rajah 2)


RAJAH 2: PENDEKATAN PENGINTEGRASIAN


Seterusnya, guru boleh memilih jenis pendekatan pengaplikasian dalam usaha menerapkan elemen keusahawanan ke dalam diri murid. Proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan seperti apa yang dirancang oleh guru. Tetapi setelah objektif pengajaran pada hari itu tercapai, guru mengaplikasikan hasil pembelajaran tersebut dengan mana-mana elemen keusahawanan yang berkaitan. Pengaplikasian ini boleh dilaksanakan secara menghubungkaitkan perkara yang dipelajari pada hari itu dengan situasi keusahawanan sebenar. (Rajah 3)
RAJAH 3: PENDEKATAN PENGAPLIKASIAN




KONSEP ELEMEN KEUSAHAWANAN MERENTAS KURIKULUM
Definisi Keusahawanan
Secara amnya, keusahawanan membawa maksud orang yang mengendalikan sesuatu perniagaan dan mengambil risiko perniagaan yang diceburinya. Selain itu, Keusahawanan merupakan segala-gala yang berkaitan dengan usahawan atau kegiatan dan kemahiran untuk menjadi usahawan (Kamus Dewan, 2002). Schumpeter (1934) pula mentakrifkan usahawan sebagai individu yang melakukan pembaharuan atau inovasi untuk kesejahteraan organisasinya sendiri. Seterusnya McClelland (1961) pula menyatakan usahawan sebagai seseorang yang berdaya inovatif dan mempunyai keinginan yang tinggi untuk mencapai sesuatu.
Definisi Keusahawanan dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup Tingkatan 2 – Bab 8: Perniagaan dan Keusahawanan pula ialah kebolehan dan kemampuan seseorang meneroka peluang perniagaan dan mengusahakan perniagaan serta memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.
Dalam memperkatakan elemen keusahawanan ini, kita berfokus kepada pembentukan insan sejak dari tahun 1 persekolahan dengan menerapkan sikap-sikap, cara berfikir, pengurusan asas jual beli yang mudah, penghasilan produk berasaskan pengetahuan dan kemahiran teknologi dan vokasional serta nilai-nilai moral dan etika dalam konteks keusahawanan.
Matlamat
Penerapan elemen keusahawanan di dalam kurikulum standard sekolah rendah bertujuan untuk murid mengamalkan elemen keusahawanan melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan pembelajaran sehingga menjadi budaya dalam kehidupan seharian mereka. Budaya keusahawanan yang diterapkan akan dapat melahirkan murid yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan.
Penerapan elemen keusahawanan merupakan satu pendekatan membudayakan ciri-ciri keusahawanan ke dalam diri murid. Proses ini melibatkan pembentukan sikap tertentu yang dimiliki oleh seorang usahawan, latihan cara berfikir ke arah keusahawanan, latihan pengurusan asas jual beli yang mudah, penghasilan produk berasaskan pengetahuan serta kemahiran teknologi dan vokasional dan akhir sekali, amalan nilai moral dan etika dalam konteks keusahawanan. Semua elemen penerapan ini dilaksanakan sesuai dengan tahap murid sekolah rendah mengikut situasi pelbagai disiplin ilmu.
Objektif Umum Merentas Kurikulum
Murid yang mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang diterapkan dengan elemen keusahawanan dalam pelbagai disiplin ilmu akan:
1. Mengamalkan sikap keusahawanan;
2. Mengamalkan cara berfikir ke arah keusahawanan dalam situasi yang diperlukan;
3. Mengamalkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli yang mudah dalam aktiviti kehidupan seharian yang relevan;
4. Menghasilkan produk berasaskan pengetahuan serta kemahiran teknologi dan vokasional; juga
5. Mengamalkan nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan.
Fokus
Penerapan elemen keusahawanan secara eksplisit merentas kurikulum melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan standard kandungan dan standard pembelajaran kurikulum disiplin tersebut. Lima elemen keusahawanan yang diterapkan adalah pendedahan dan amalan kepada sikap keusahawanan, latihan cara berfikir ke arah keusahawanan dalam situasi yang diperlukan, pengurusan asas jual beli yang mudah; menghasilkan produk berasaskan pengetahuan serta kemahiran teknologi dan vokasional juga, nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan.


ELEMEN KEUSAHAWANAN
1. Mengamalkan sikap keusahawanan (EK1)


Murid yang sentiasa menerima penerapan sikap-sikap keusahawanan melalui aktiviti-aktiviti dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan terdorong untuk mengamalkan sikap-sikap tersebut dalam kehidupan seharian sehingga menjadi budaya. Budaya yang terbentuk ini akan dapat membantu murid mempunyai tingkahlaku yang dapat menentukan kejayaan dalam sebarang usaha ke arah keusahawanan di masa akan datang.
Berikut adalah sikap keusahawanan yang ingin diterapkan di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran:


1.1 Bertanggungjawab terhadap keputusan


Murid perlu bertanggungjawab ke atas sebarang keputusan yang diambil. Murid diberi kebebasan untuk mengawal sendiri sumber-sumber berkaitan pembelajaran dan menggunakannya untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Kesanggupan mengambil tanggungjawab terhadap hasil keputusan yang dibuat berkait rapat dengan kekuatan kawalan dalaman diri murid.


1.2 Peka kepada peluang


Untuk mencapai matlamat yang ditetapkan, murid perlu peka dengan keupayaan sendiri dan boleh melihat serta mengambil peluang yang terdapat di persekitaran. Peluang perniagaan boleh wujud akibat masalah yang ditimbulkan oleh orang lain, perubahan teknologi, perubahan cita rasa pengguna, perubahan cara hidup, perubahan sikap, sumber-sumber alam yang masih belum diterokai dan sebagainya.


1.3 Berani mengambil risiko yang dianggarkan


Dalam dunia yang mempunyai kadar ketidaktentuan yang tinggi, murid perlu belajar mengurus risiko dan memastikan bahawa risiko yang diambil adalah munasabah dan berpatutan dengan ganjaran yang diterima.


1.4 Daya kreativiti dan inovasi


Kreativiti dijelaskan sebagai kebolehan mengadakan idea alternatif. Inovatif pula adalah kebolehan memperbaiki dan mengaplikasikan idea kreatif terhadap masalah. Murid yang dibekalkan dengan minda yang kreatif akan dapat menyelesaikan masalah secara logikal disamping boleh menghasilkan idea yang boleh dilaksanakan dalam bentuk suatu inovasi.


1.5 Fleksibiliti


Murid yang mengamalkan sikap fleksibiliti akan mempunyai kebolehan untuk menyesuaikan diri terhadap perubahan persekitaran. Dalam dunia sekarang yang sentiasa berubah, kebolehan bertindak dengan cara yang fleksibel memerlukan satu daya kreativiti yang tinggi.


1.6 Keinginan kepada maklum balas segera


Murid akan memiliki keinginan yang kuat untuk menggunakan pengetahuan bagi membaiki prestasi mereka. Sikap ini sangat berkait rapat dengan kehendak untuk belajar dari kesilapan lalu.


1.7 Berorientasikan masa depan


Murid yang diberi pendedahan kepada corak perniagaan masa depan akan mempunyai keinginan untuk melibatkan diri dalam bidang tersebut.


1.8 Kesanggupan belajar daripada kesilapan


Murid sanggup menerima kegagalan sebagai satu dorongan untuk mencapai kejayaan. Kegagalan merupakan satu pengajaran supaya kesilapan yang sama tidak diulangi. Dengan sikap sedemikian, murid akan dapat memperbaiki peluang untuk mencapai kejayaan.


1.9 Berkeupayaan memimpin


Murid mempunyai pengalaman untuk memimpin, memiliki pengetahuan tentang teknologi dan keadaan persekitarannya. Jarang sekali dapat dilihat seseorang yang tidak mempunyai pengalaman berjaya di dalam bidang yang diterokainya. Murid yang telah membudayakan elemen ini mempunyai kemampuan untuk menggunakan pengaruhnya sebagai pemimpin.


1.10 Berorientasikan pencapaian


Murid mengetahui objektif dan matlamat yang hendak dicapai dalam sesuatu perkara. Objektif dan matlamat yang ditetapkan merupakan satu dorongan yang kuat yang akan menggerakkan murid ke arah pencapaian tersebut.


1.11 Berdaya tahan


Murid berani menghadapi pelbagai cabaran dan halangan untuk menjayakan sesuatu projek yang diberikan. Dia perlu mempunyai daya kekuatan mental, fizikal dan emosi yang tinggi untuk terus bertahan di samping terus menangani segala masalah yang dihadapi dengan tabah sehingga berjaya.
1.12 Bertoleransi terhadap ketidaktentuan yang tinggi


Murid tetap melaksanakan tugasan yang diberi walau pun menghadapi pelbagai kemungkinan situasi akibat daripada tidak mendapat maklumat yang tepat atau perubahan yang tidak dijangka. Murid perlu mempunyai kesabaran untuk bertolak ansur dengan situasi yang tidak menentu serta tenang mencari penyelesaiannya.


1.13 Daya ketabahan yang tinggi


Terdapat pelbagai aktiviti yang perlu dilaksanakan dengan kekuatan semangat yang tinggi. Murid perlu mampu mengharungi pelbagai cabaran untuk menjamin kejayaan dalam usaha yang dilakukan.
1.14 Boleh membina jaringan sosial


Murid boleh menggunakan jaringan sosial untuk menjalin hubungan kerjasama bagi mendapatkan maklumat atau perkongsian sumber.
Pedagogi pembentukan sikap keusahawanan melibatkan langkah-langkah seperti:


• mendedahkan murid kepada siapa usahawan;
• kerjaya keusahawanan;
• bidang keusahawanan;
• memotivasikan murid untuk menjadi usahawan; dan
• mengamalkan sikap keusahawanan sebagai satu amalan harian sehingga menjadi budaya dalam kehidupan mereka.


2. Mengamalkan cara berfikir ke arah keusahawanan dalam situasi yang
diperlukan (EK2)
Seorang murid perlu sentiasa berfikiran kritis, kreatif dan inovatif. Ini akan membantu mereka mengenal pasti peluang-peluang dalam persekitaran, agar mereka boleh terus berjaya atau sekurang-kurangnya bertahan dalam usaha mereka.
Cara berfikir ke arah keusahawanan dalam situasi yang diperlukan melibatkan sembilan langkah utama iaitu:
2.1 amalan memerhati persekitaran dengan sengaja dan bertujuan;
2.2 menganalisis pemerhatian secara kritis dan kreatif;
2.3 menghasilkan idea dari pemerhatian;
2.4 memilih idea terbaik daripada banyak idea;
2.5 menambahbaik idea yang dipilih (inovasi);
2.6 menilai idea secara kritis dalam konteks;
2.7 melaksanakan idea dalam bentuk produk teknologi abstrak atau konkrit;
2.8 menyesuaikan idea baru dengan keperluan masyarakat dan persekitaran; dan
2.9 meneruskan peningkatan kualiti idea.


3. Mengamalkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli yang
mudah dalam aktiviti kehidupan seharian yang relevan (EK3)
Seorang murid boleh menguasai pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli yang mudah sekiranya beliau sentiasa didedahkan perkara tersebut di dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Selain daripada mempunyai sikap dan cara berfikir ke arah keusahawanan, murid boleh mengamalkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas perniagaan dalam urusan jual beli yang mudah dalam situasi kehidupan harian yang relevan.
Pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli yang mudah melibatkan proses-proses:
3.1 merancang sesuatu projek dengan teliti;
3.2 melaksana projek mengikut langkah-langkah yang telah disediakan;
3.3 memantau projek; dan
3.4 menilai pelaksanaan projek.
Pedagogi penerapan elemen pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli yang mudah melibatkan praktis amalan-amalan seperti:
• mengurus wang sama ada dalam perbelanjaan harian atau penabungan;
• mengurus transaksi jual beli mudah harian; dan
• amalan kepenggunaan yang baik.


4. Menghasilkan produk berasaskan pengetahuan dan kemahiran teknologi dan vokasional (EK4)
Seorang murid yang telah mempelajari sesuatu teknik dalam pembelajarannya boleh mereka cipta dan menghasilkan produk yang berdaya saing.berasaskan pengetahuan teknologi dan vokasional mengikut kreativitinya.
Asas pengetahuan dan kemahiran teknologi dan vokasional boleh digunakan dalam:
4.1 Menghasilkan produk berasaskan pengetahuan serta teknologi dan vokasional;


4.2 Menghasilkan produk yang sama dengan menggunakan teknologi yang berlainan;


4.3 Menghasilkan produk menggunakan sumber yang pelbagai/ sumber
alternatif/ sumber kitar semula.


Pedagogi penerapan elemen ini melibatkan murid mempraktikkan langkah-langkah dalam reka bentuk (design) yang menggabungkan pengetahuan dan kemahiran teknologi dan vokasional yang diajar oleh guru untuk menghasilkan produk yang boleh dikomersialkan.
5. Mengamalkan nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan (EK5)
Amalan nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan mendorong murid mempunyai tingkah laku yang bertanggungjawab kepada masyarakat. Murid yang sentiasa diterapkan dengan nilai moral dan etika yang baik ini akan menjadikan nilai-nilai ini sebagai panduan dalam proses pembentukannya sebagai insan. Ia akan seterusnya menjadi warganegara yang mempunyai integriti yang tinggi, bersifat patriotik dan tidak mementingkan diri sendiri.
Ada lima prinsip amalan nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan:
5.1 Prinsip Tanggungjawab Sosial: perniagaan tidak boleh menyebabkan kemudaratan kepada manusia dan alam sekitar.
5.1.1 Menjaga kesejahteraan masyarakat dan persekitaran dari aspek fizikal dan emosi individu.


5.1.2 Tidak menyalahgunakan kuasa dan sumber.


5.2 Prinsip Keadilan: mengamalkan perniagaan yang adil.


5.2.1 Tidak menindas.


5.2.2 Tidak memilih kasih.


5.3 Prinsip Hak Manusia: amalan menghormati hak manusia.


5.3.1 Menghormati hak orang lain.


5.3.2 Tidak menghalang hak orang lain.


5.4 Prinsip Autonomi: perniagaan tidak boleh menafikan hak memilih
individu.


5.4.1 Menghormati cara hidup orang lain.


5.4.2 Menghargai kepelbagaian manusia.


5.5 Prinsip Ketelusan: perniagaan yang tidak mengelirukan.


5.5.1 Tidak mengelirukan masyarakat.


5.5.2 Menyatakan yang benar.


Pedagogi penerapan elemen amalan nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan melibatkan situasi-situasi yang memerlukan murid membuat penilaian dan seterusnya mengamalkan dalam kehidupan seharian mereka. Dalam kelas, murid boleh melakukan amalan nilai moral dan etika keusahawanan secara simulasi dan main peranan.


INDIKATOR KEPADA KEJAYAAN PENERAPAN ELEMEN KEUSAHAWANAN DALAM DIRI MURID
EK1 – Mengamalkan sikap keusahawanan




Sikap keusahawanan Indikator yang boleh diukur
1.1 Bertanggungjawab terhadap keputusan Murid …
- menepati masa yang ditetapkan
- menyiapkan tugasan sehingga selesai
1.2 Peka kepada peluang Murid…
- suka mengambil tahu
- mengambil berat terhadap perubahan persekitaran
- tahu menggunakan sumber/ ruang
1.3 Berani mengambil risiko Murid…
- lebih berhati-hati untuk bertindak
- menyenaraikan kesan dan akibat
- sedia menerima teguran
1.4 Daya kreativiti dan inovasi Murid…
- suka memerhati persekitaran dengan sengaja dan bertujuan
- boleh memberi banyak idea
- boleh menilai idea untuk memilih idea yang terbaik
- boleh mencipta/ mereka cipta sesuatu
1.5 Fleksibiliti Murid…
- boleh menyesuaikan diri dalam apa juga situasi
- boleh mengadaptasi mengikut persekitaran
- boleh menimbang pandangan rakan
- bersedia mendengar dan didengar
1.6 Keinginan kepada maklum balas segera Murid memberi respons segera apabila diminta
1.7 Berorientasikan masa depan Murid …
- boleh berimaginasi terhadap sesuatu yang belum berlaku
- boleh menyenaraikan kesan dan akibat terhadap sesuatu tindakan
- boleh menjangkakan sesuatu
- boleh membuat perancangan
1.8 Kesanggupan belajar daripada kesilapan Murid…
- bersedia menerima teguran/ pandangan orang lain
- bersedia mengubah tindakan/ keputusan yang silap
1.9 Berkeupayaan memimpin Murid…
- boleh bekerjasama dalam kumpulan
- boleh bertolak ansur
- boleh berkongsi pendapat
- boleh meneraju/ memimpin
1.10 Berorientasikan pencapaian Murid …
- tahu matlamat/ objektif tindakan
- berusaha untuk mencapai objektif
- menyiapkan tugasan dalam masa yang diberikan
1.11 Berdaya tahan Murid…
- tidak mudah berputus asa
- sanggup menerima kritikan
- menyelesaikan tugasan walaupun terdapat halangan
- sabar dengan tugasan yang berat
1.12 Bertoleransi terhadap ketidaktentuan yang tinggi Murid…
- sentiasa bersedia untuk bertindak dengan apa juga perubahan
- mengambil tindakan yang sesuai dengan keperluan persekitaran
- sedia berunding dengan rakan-rakan pada bila-bila masa
1.13 Daya ketabahan yang tinggi Murid…
- menerima teguran/ pandangan orang lain
- meneruskan sesuatu tindakan sehingga berjaya
1.14 Boleh membina jaringan sosial Murid…
- boleh berkomunikasi dengan baik
- mesra dengan semua orang
- boleh mengekalkan hubungan baik


EK2 – Mengamalkan Cara Berfikir ke Arah Keusahawanan Dalam Situasi yang
Diperlukan
2.1 Amalan memerhati persekitaran dengan sengaja dan bertujuan Murid…
- boleh menyenaraikan/ mengumpul maklumat
- boleh mendapatkan maklumat daripada mana-mana sumber
2.2 Menganalisis pemerhatian secara kritis dan kreatif Murid …
- boleh menyatakan kebaikan/ keburukan sesuatu
- boleh membuat penilaian
2.3 Menghasilkan idea dari pemerhatian Murid…
- boleh mengemukakan/ mencadangkan idea baru/ alternatif berasaskan maklumat
2.4 Memilih idea terbaik daripada banyak idea Murid…
- boleh membuat penilaian terhadap idea
2.5 Menambahbaik idea yang dipilih (inovasi) Murid…
- boleh mencadangkan cara/ teknik/ strategi/ idea/ kaedah yang lebih baik
2.6 Menilai idea secara kritis dalam konteks Murid…
- boleh memodifikasi/ mengubahsuai/ menambahbaik idea mengikut situasi/ keperluan
2.7 Melaksanakan idea dalam bentuk produk teknologi abstrak atau konkrit Murid…
- boleh mengaplikasi ilmu/ teknologi untuk merealisasikan idea yang telah dipilih
2.8 Menyesuaikan idea baharu dengan keperluan masyarakat dan persekitaran Murid…
- boleh menghasilkan sesuatu yang boleh digunakan oleh orang ramai
- boleh memodifikasi idea untuk disesuaikan dengan keperluan/ kehendak semasa
2.9 Meneruskan peningkatan kualiti idea Murid…
- boleh membuat penambahbaikan secara berterusan terhadap idea asal
- berupaya mencari idea baharu
- berupaya membuat penyelidikan




EK3 - Mengamalkan pengetahuan dan kemahiran pengurusan asas jual beli yang
mudah dalam aktiviti kehidupan seharian yang relevan


3.1 Merancang sesuatu projek dengan teliti Murid…
- boleh mengumpulkan maklumat
- boleh menyenaraikan langkah-langkah kerja
3.2 Melaksana projek mengikut langkah-langkah yang telah disediakan
Murid…
- berupaya menjalankan tugasan mengikut perancangan
3.3 Memantau projek Murid…
- akan memastikan kualiti tugasan/ projek di tahap yang tinggi
3.4 Menilai pelaksanaan projek Murid…
- boleh menyenaraikan kesan/ faedah/ kelemahan/ kekuatan projek
- boleh membuat keputusan
- boleh mengambil tindakan susulan






EK4- Menghasilkan produk berasaskan pengetahuan serta kemahiran teknologi
dan vokasional
4.1 Menghasilkan produk berasaskan pengetahuan serta kemahiran teknologi dan vokasional Murid…
- boleh menggunakan pengetahuan/ teknologi yang dipelajari untuk melaksanakan sesuatu idea hingga terhasilnya sesuatu produk
- boleh menghasilkan sesuatu produk berdasarkan kemahiran yang dimiliki
- boleh merekacipta suatu produk
- boleh menukar idea asal kepada idea komersial/ mengkomersialkan idea
4.2 Menggunakan teknologi berlainan untuk menghasilkan produk yang sama Murid …
- boleh mencadangkan teknologi lain untuk menghasilkan produk yang sama
- boleh melakarkan reka bentuk proses penghasilan produk menggunakan teknologi yang berlainan
4.3 Menggunakan sumber yang pelbagai/ sumber alternatif/ sumber kitar semula Murid …
- boleh mencadangkan sumber alternatif/ bahan kitar semula untuk menghasilkan sesuatu produk
- boleh menggunakan sumber alternatif/ bahan kitar semula untuk menghasilkan sesuatu produk




EK5 - Mengamalkan nilai moral dan etika yang baik dalam konteks keusahawanan
5.1 Prinsip Tanggungjawab sosial Murid…


- menjaga kebersihan sekolah/ bilik darjah
- menjaga kesejahteraan bilik darjah/ sekolah
- mengelak perselisihan faham/ salah sangka/ buruk sangka
5.2 Prinsip Keadilan Murid…


- mengikut giliran/ beratur
- tidak mengambil hak/ barang rakan
- membahagikan tugasan sama rata
5.3 Prinsip Hak Manusia Murid…


- menyayangi dan menjaga barang sendiri/ rakan sekelas
- tidak mengambil barang rakan lain tanpa izin
5.4 Prinsip Autonomi Murid…


- menghormati rakan berlainan bangsa dan agama
5.5 Prinsip Ketelusan Murid…


- menyatakan/ menyampaikan maklumat dengan betul/ jelas
- tidak berselindung




CONTOH
PENERAPAN
ELEMEN KEUSAHAWANAN
DALAM
MODUL
BAHASA MALAYSIA
TAHUN 1




Mata Pelajaran: Bahasa Malaysia
Tema/ Tajuk Kebudayaan - Makanan Kita
Masa: 7.30 – 8.30 pagi
Standard Pembelajaran: FU: 1.4.4 FS: 3.3.4


Objektif:
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran, murid dapat;
1. Bertutur untuk menyatakan permintaan dengan intonasi yang betul secara bertatasusila.
2. Membina dan menulis ayat tunggal berbentuk permintaan yang bertatasusila dengan betul dan kemas.
Aktiviti: 1. Murid menuturkan semula ayat-ayat permintaan yang telah didengari daripada dialog yang diperdengarkan.
2. Murid melakukan main peranan sebagai penjual dan pembeli di sebuah kantin sekolah.
3. Murid dan guru berbincang tentang ayat-ayat permintaan yang sesuai dalam aktiviti main peranan.
4. Murid membina dan menulis ayat tunggal berbentuk permintaan yang bertatasusila dengan betul dan kemas.
EMK: Keusahawan – EK1, EK2 dan EK3


BBM/Media:
Radio/ komputer, slaid powerpoint gambar-gambar tunggal, kad peranan, lembaran kerja
Penilaian P&P: Murid membina dan menuturkan ayat-ayat permintaan berdasarkan gambar situasi di sebuah gerai atau kedai.
Refleksi: 30 orang daripada 36 orang murid telah mencapai objektif P&P. Murid belum menguasai akan diberi bimbingan dalam aktiviti yang lain.




CONTOH
PENERAPAN
ELEMEN KEUSAHAWANAN
DALAM
MODUL
BAHASA INGGERIS
TAHUN 1
Subject: English
Theme and Topic: World of Stories; Rin and Ash
Time: 60 minutes (8.00 – 10.00)
Learning Standard: 2.1.1 , 2.1.2 (a)
Lesson Objectives: By the end of the lesson, pupils will be able to recognize and articulate the phoneme /ae/
Activities: 1. Make sounds of animals and pupils guess;
2. Read the story, “Rin and Ash” aloud. Pupils read after teacher.
3. Point to the words with phoneme /ae/, pupils say the words aloud;
4. Get one pupil to say a word aloud and other points to the words;
5. Pupils match word cards and picture cards.
Cross Curricular Element (EMK) 1. Good value and politeness
2. Entreprenuer Element: (EK1 and EK2)
Teaching Aids: Big book, word cards, picture cards
Evaluation: Pupils ability to pronounce and articulate the phoneme /ae/
Reflection: 1. Nine pupils were able to achieve the lesson objective.
2. Three pupils are slow learners and they are being coached constantly.


CONTOH
PENERAPAN
ELEMEN KEUSAHAWANAN
DALAM
MODUL
DUNIA SENI VISUAL
TAHUN 1




Mata Pelajaran:
Dunia Seni Visual
Bidang: Menggambar : Lukisan
Tema: Alam Benda : Rumah
Masa: 60 minit
Standard Pembelajaran: 1.1 Persepsi Estetik
1.1.1 Unsur Seni
1.1.1.1, 1.1.1.2, 1.1.1.3
1.1.2 Prinsip Rekaan
1.1.2.1
1.2 Aplikasi Seni
1.2.1 Media
1.3 Ekspresi Kreatif
1.3.1, 1.3.2
1.4 Apresiasi Seni
1.4.1, 1.4.2, 1.4.3
Objektif Pembelajaran: Pada akhir pembelajaran murid dapat:
1. mengenal, menamakan, dan memahami bahasa seni visual yang ada pada karya seni;
2. mengaplikasikan pengetahuan, kefahaman, dan kemahiran bahasa seni visual dalam menghasilkan karya seni;
3. membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual.
Aktiviti P&P: 1. Murid membuat penerokaan jenis-jenis garisan menggunakan media yang ditetapkan;
2. Murid menghasilkan lukisan menggunakan garisan selari dan melengkung;
3. Murid mempamerkan karya seni yang dihasilkan dan menceritakan pengalaman mereka ketika melakukan aktiviti.
EMK: 1. Kreativiti dan inovasi
2. Keusahawanan (EK1, EK2, EK3, EK4, EK5)
3. Nilai Murni
Bahan / Sumber P&P: 1. Dokumen standard
2. Bahan Panduan Pengajaran
3. Buku Sumber Guru KBSR
4. Contoh-contoh garisan, gambar rumah
5. Kertas lukisan, pensel warna, pensel HB, dan pensel 2B
Penilaian P&P: 1. Proses
2. Hasil karya
Refleksi: Pada akhir pembelajaran:
1. 40 daripada 45 orang murid dapat mengenal, menamakan, memahami, mengaplikasi pengetahuan, kefahaman, dan kemahiran bahasa seni visual yang ada pada karya seni yang dihasilkan;
2. 40 daripada 45 orang murid dapat membuat apresiasi terhadap karya sendiri dan rakan berpandukan bahasa seni visual;
3. Bagi murid yang tidak mencapai objektif, bimbingan khas akan diberi dalam sesi pembelajaran yang akan datang.




RUJUKAN
Ab.Aziz Yusof & Zakaria Yusof. 2004. Prinsip Keusahawanan. Edisi ke - 2. Petaling Jaya: Prentice Hall Pearson Malaysia Sdn. Bhd.
Ashmore, C. 2001. Entrepreneurship everywhere: a guide to resources and models for entrepreneurship education. Ohio: The Consortium for Entrepreneurship Education.
DeTienne, D.R., & Chandler, G.N. 2004. Opportunity identification and its role in the entrepreneurial classroom: a pedagogical approach and empirical test. Academy Of Management Learning & Education 3(3): 242-258.
Hassmani Che Omar @ Che Hassan. 2010. Tahap tingkahlaku keusahawanan pelatih OKU di PLPP Bangi dan hubungannnya dengan kesedaran persekitaran. Tesis Sarjana. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Harkema, Saskia J.M. & Schout, H. 2008. Incorporating student-centered learning in innovation and entrepreneurship education. European Journal of Education 43(4): 513-526.
Hawtrey, K. 2007. Using experiential learning techniques. Journal of Economic Education. 38(2): 143-153.
Henry, C., Hill, F. & Leitch, C. 2003. Entrepreneurship Education and Training. Aldershot: Ashgate.
Hisrich, R.D., Peters, M. P. & Shepherd, D.A. 2008. Entrepreneurship: A Process Perspective. Edisi Ke-6. New York: McGraw-Hill.
Jones, C & English, J. 2004. A contemporary approach to entrepreneurship education. Educational & Training 46 (8-9):416-423.
Kirby, A. 2007. Changing the entrepreneurship education paradigm. Dlm. Fayolle, A. (pnyt.). A Handbook of Research In Entrepreneurship Education, hlm. 21-33. General Perspective. Edisi Pertama. U.K: Edward Edgar Publishing Ltd.
Mohd Salleh Hj. Din, Hoe Chee Hee, Norashidah Hashim, Ooi Yeng Keat, Shuhymee Ahmad & Habshah Bakar. 2005. Asas Keusahawanan. Singapore: Thomson Learning.
Mohd Zafir bin Makhbul & Fazilah Mohd Hasun. 2003. Menjadi usahawan: panduan menubuhkan dan menguruskan perusahaan secara professional. Bentong: PTS Publications & Distribution Sdn. Bhd.
Matlay, H. 2008. The impact if entrepreneurship education on entrepreneurial outcomes. Journal of Small Business and Enterprise Development 15(2): 382- 396.
Nor Aishah Buang. 2001. Creativity, design, innovation and enterpreneurship education orientation in vocational and technical curriculum: towards global challenges. Proceedings of the International Conference on Technology and Vocational-Technical Education:Globalization and Future Trends 12-13 Nov, Uniten. hlm.437-440
Nor Aishah Buang. 2002. Asas keusahawanan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.Nor Aishah Buang. 2011. Pendidikan keusahawanan. Penerbit UKM
Nor Aishah Buang. 2011. Pendidikan keusahawanan. Bangi: Penerbit UKM.
Norasmah Othman, Halimah Harun, Faridah Karim, Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, & Nor Aishah Buang. 2007. Profil remaja Malaysia. Kertas kerja Seminar Pembudayaan dan Pendidikan Keusahawanan Remaja.
Norita Deraman, Armanurah Mohamad, Shuhymee Ahmad, Habshah Bakar, Mohamad Yusop Mohd Jani, & Hashim, K. 2007. Keusahawanan. Shah Alam: McGraw-Hill.
Norlida Ab. Wahab. 2010. Pengetahuan sedia ada, jaringan sosial serta ciri-ciri personaliti dan hubungannya dengan kesediaan mengenal peluang pelajar Kolej Komuniti. Tesis PhD. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
McClelland, D.C. 1961. The Achieving Society. Princeton, NJ: Van Nostrand.
Oppenheim, A.N. 2000. Questionnaires Design, Interviewing and Attitude Measurement. New York: Continuum, Wellington House.
Schumpeter, Joseph A. 1934. The Theory of Economic Development. Cambridge, MA. Harvard University Press.
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie & Habibah Elias. 1997. Keusahawanan dan Motivasi Diri. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie, Norasmah Othman, Halimah Harun & Faridah Karim. 2006. Inovasi pengajaran dan latihan keusahawanan. Kertas kerja Seminar Pembudayaan dan Pendidikan Keusahawanan Remaja. Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, 28 Feb. 2006.
Kamus Dewan. 2000. Edisi 3. Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka